SEGAMAT: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama, Batu Anam Jumaat lalu, ditemui lemas tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mayat mangsa, Muhammad Idham Abd Kadir, 14 tahun itu ditemui pada jam 12.05 tengah hari.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga disambung kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Pada jam 12.05 tengah hari, pasukan SAR polis Segamat bersama Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Bandar Segamat berjaya menjumpai mayat remaja lelaki itu yang masih berpakaian seluar trek gelap tanpa baju.
“Mayat ditemui tersangkut di akar-akar kayu di dalam sungai kira-kira 450 meter dari lokasi terakhir dilihat.
“Waris mangsa yang berada di lokasi kejadian membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut siasatan,” katanya ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Sungai Jeram Badoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait dan Ketua BBP Bandar Segamat Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abd Razak.
Dengan penemuan itu, operasi SAR orang hilang di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 2 petang.
Kelmarin, Ahmad Zamry dalam satu kenyataan mengesahkan ada menerima makluman mengenai kejadian remaja lelaki, 14 tahun itu yang hilang di Sungai Jeram Badoh pada jam 4.20 petang.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika mandi di Sungai Jeram Badoh bersama 19 rakannya.
“Saksi memberitahu mangsa dihanyutkan arus di tengah sungai dan tidak melihat kelibatnya di kawasan sekitar sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk setempat,” katanya.
Bertindak atas maklumat itu, Ahmad Zamry berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Segamat, Batu Anam dan Buloh Kasap digerakkan ke lokasi untuk melakukan pencarian dan PKTK dibuka pada jam 5.30 petang di tebing Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Operasi SAR terdiri daripada pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Ketua Kampung bersama penduduk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.