comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Remaja hilang ditemukan lemas

Foto hiasan

KUANTAN: Remaja lelaki yang didakwa hilang selepas dihanyutkan ombak semasa mandi di Pantai Cempaka di sini pada Jumaat, ditemukan lemas pada 11.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mayat Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, ditemukan oleh orang awam terdampar di Pantai Sepat, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia didakwa hilang.

“Keluarga mangsa mengesahkan identiti mangsa di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Mangsa yang beralamat di Taman Kempadang Perdana di sini, didakwa hilang semasa dia bersama empat rakan mandi di pantai itu, selepas mereka dipukul ombak dan dihanyutkan ke kawasan agak dalam.

Bagaimanapun, semua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
Semasa kejadian, keadaan pantai didapati berombak tinggi dan air laut pasang selain angin kencang. – BERNAMA

Loading...
Terkini