Oleh: Fazli Ahmad
JERANTUT: Seorang remaja berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Pahang apabila terjatuh dari rumah rakit petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakannya sedang memancing di rumah rakit yang terletak di bawah Jambatan Jerantut Feri di Kampung Pedah, dekat sini.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada jam 5:07 petang.
“Pasukan penyelamat sedang melakukan pencarian di permukaan air, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot sedang dijalankan, melibatkan pencarian sejauh 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Azri Fahmi, 14, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temir.
Zulfadli turut memaklumkan, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bukit Angin, Temerloh sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.