LIPIS: Seorang remaja berusia 13 tahun ditemui lemas di bekas lombong emas di Jalan Taban, Kampung Merapoh, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Muhammad Adam Harris Mohd Azman iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu bersama sepupunya ke kawasan itu jam 7 malam semalam untuk memancing.
“Menurut sepupunya, ketika sedang memancing, tiba-tiba mata joran mangsa terputus.
“Mangsa kemudian turun ke dalam lombong dan berenang pada jarak kira-kira 12 meter sebelum tenggelam,” katanya.
Ismail berkata, sejurus menerima maklumat, anggota polis bersama bomba dibantu penduduk kampung melakukan operasi pencarian di tempat kejadian.
“Mangsa ditemukan pasukan mencari dan penyelamat jam 2.50 pagi hari ini.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merapoh pada jam 3 pagi.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, kejadian diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.