Oleh Fazli Ahmad
BENTONG: Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di Sungai Perting, Bentong berhampiran penempatan Orang Asli, Kampung Gabong, dekat sini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata mayat mangsa ditemui di dasar sungai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 9:35 malam tadi.
Katanya, berdasar maklumat awal. mangsa Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, tinggal di Felda Lakum, Lanchang, dekat sini pergi ke kawasan itu bersama empat rakannya kira-kira jam lima petang tadi.
Menurutnya, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong diketuai Ketua Balai, Mohd Shafie Sulang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai kejadian pada jam 5:10 petang.
“Mangsa dipercayai terjatuh dan dibawa arus. Anggota bomba bertindak melakukan pencarian dengan teknik pencarian di permukaan serta menggunakan ‘grappling iron,”
“Mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman pada kedalaman kira-kira tiga meter di dasar sungai.” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserah kepada polis dan dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.