Tumpuan :
Nasional

Remaja di Malaysia ketagih pornografi!

KUALA LUMPUR: Remaja di Malaysia dikesan mengalami ketagihan pornografi.

Ini berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2021 mendapati, 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, UKM, Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad berkata, kebanyakan yang terbabit adalah remaja lelaki dan terjebak seawal persekolahan menengah.

Lebih membimbangkan, beliau berkata, remaja ini dikesan melakukan aktiviti tidak bermoral itu apabila diberi peluang menggunakan internet di rumah secara bersendirian.

“Menonton pornogarafi ini menyebabkan sebahagian dari remaja kita mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan siflis. Ia terjadi apabila tiada pemantauan dari ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Noor Azimah berkata, pelajar yang menonton video lucah biasanya akan mengamalkan aktiviti seks bebas sejurus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari, semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya. Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi (masturbation) dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej,” katanya.

Katanya, hampir kesemua remaja ini mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu membabitkan remaja.

“Ketagihan seksual bermula sejurus aktiviti seksual berlaku. Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang,” katanya.

Kata Dr. Noor Azimah, kajian pada pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej mendapati, 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual, manakala lima peratus pula sangat aktif melakukan perbuatan itu.

“Umumnya, aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi, dengan mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan, mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina atau biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Dapatan yang hampir sama dapat dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks,” katanya.

Tambahnya, penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa.

“Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi sama ada di rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.”Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual jugabersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang itu,” katanya.

Justeru, Dr. Noor Azimah berkata, tanggungjawab adalah di bahu ibu bapa yang perlu memainkan peranan utama iaitu menyingkirkan perasaan malu untuk memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah.

“Antara topik yang perlu dijelaskan kepada anak-anak adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa di rancang.

“Ibu bapa juga sering menggunakan istilah hubungan kelamin. Namun begitu, remaja mungkin keliru definisi istilah ini dengan istilah seks. Carilah ilmu mengenai perkara itu kerana tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa itu sendiri,” katanya.

Loading...
Terkini