Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Remaja cuba tikam pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba melakukan rompakan, pada 27 November lalu di Mahkamah Majistret di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 13 tahun didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 6 petang di kawasan tepi Jalan Taman Keladi, Sungai Petani terhadap seorang warga emas, Lee Ang Hie.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Duratul Ain Mahmud Morshidi.

Sebelum ini tular satu klip video yang memaparkan tindakan seorang remaja cuba menikam pemandu e-hailing, dipercayai sebagai cubaan samun dalam kenderaan.

Pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu bagaimanapun sempat menggigit tangan remaja berkenaan dan merampas pisaunya sebelum remaja itu melarikan diri.

Remaja itu ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat oleh warga emas berkenaan pukul 8 malam pada hari kejadian.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini