KAJANG: Seorang remaja lelaki yang disyaki membakar anak kucing hidup-hidup di parkir motosikal Flat Seri Kenari, di sini, pada 22 April lalu, ditahan polis kelmarin.
Difahamkan remaja berusia 13 tahun terbabit ditahan berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja itu.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Juvana Kajang, pagi esok.
Sebelum ini, media melaporkan, polis memburu tiga lelaki yang membakar anak kucing di parkir motosikal Flat Seri Kenari.
Mohd Zaid dilapor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 63 tahun memaklumkan anak kucing dibakar hidup-hidup di tapak parkir motosikal berkenaan.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.
“Suspek tiga lelaki dipercayai sedang melepak di tapak parkir berkenaan. Dua daripada suspek kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dan salah seorang menyalakan api.
“Ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing berkenaan berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.