Tumpuan :
Nasional

Remaja 17 tahun maut, motosikal terbakar selepas rempuh kereta

FOTO: PDRM

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar, dalam kejadian di atas Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, malam semalam.

Kemalangan yang berlaku pada jam 10.55 malam itu mengakibatkan mangsa Muhammad Adam Abdullah, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta jenis Perodua Viva, seorang lelaki berusia 30-an, memandu dari arah Pasir Pekan menghala ke Kota Bharu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai sedang bergerak lurus di laluan yang betul.

“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan di laluan bertentangan cuba memotong kenderaan jenis yang tidak dapat dipastikan, namun gagal memasuki semula ke laluan asal dan terlanggar kereta pada bahagian hadapan.

“Motosikal mangsa terbakar dan akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

FOTO: PDRM

Beliau berkata pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan itu tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini