BENTONG: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di D’Kasai Riverside (Monkey Rock), penempatan Orang Asli, Kampung Gabong, dekat sini, pada jam 5.10 petang tadi.
Mangsa yang dikhuatiri lemas, Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, tinggal di Felda Lakum, Lanchang, dekat sini pergi ke kawasan itu bersama rakannya.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pegawai operasi, Badrul Hisham Saari melaporkan seorang remaja lelaki disyaki lemas ketika mandi bersama tiga rakan.
Katanya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas sejurus menerima maklumat.
“Mangsa dipercayai terjatuh dan dibawa arus. Anggota bomba bertindak melakukan pencarian dengan teknik pencarian di permukaan serta menggunakan ‘grappling iron,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, tiga rakan yang bersama mangsa selamat manakala pencarian mangsa diteruskan.