Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan tikam ibu saudara direman tiga hari

Remaja perempuan berusia 14 tahun diiringi polis untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes menikam ibu saudaranya dalam kejadian di sebuah flat di Perai. – Foto NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan remaja perempuan berusia 14 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menikam ibu saudaranya di Perai, di sini semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad bermula hari ini sehingga 6 Januari.

Terdahulu, suspek yang tidak bersekolah itu tiba di pekarangan mahkamah diiringi anggota polis pada jam 9.10 pagi.

Reman dibenarkan bagi siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya
menggunakan pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai.

Kejadian dipercayai berlaku jam 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun yang sedar tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.

Ekoran itu, suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya.

Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini