Tumpuan :
Nasional

‘Rekod baharu jika penampakan anak bulan Khamis ini’

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jangkaan Jabatan Mufti Pulau Pinang anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Syawal dapat dilihat Khamis ini, dengan bantuan alat cerapan, kemahiran pencerap dan cuaca yang baik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jika itu berlaku, ia akan menjadi rekod baharu penampakan anak bulan di negara ini.

“Rekod penampakan hilal (bulan baharu) terbaik pernah direkodkan di Pusat Falak Sheikh Tahir setakat ini adalah hilal Rabiulawal 1444 Hijrah pada ketinggian lima darjah 44 minit dan jarak lengkung enam darjah enam minit.

“Namun sekiranya ketika cerapan pada petang Khamis ini hilal boleh kelihatan pada ketinggian dua darjah 12 minit dan jarak lengkung dua darjah 39 minit sahaja, satu rekod baharu akan dicatat,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, timbul persoalan sama ada 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, namun Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memaklumkan pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi.

Ia dibuat selepas mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja.

Masyarakat Islam perlu bersabar dan berlapang dada bagi memahami serta mengikuti proses penetapan hukum bagi tarikh 1 Syawal sehingga selesai.

Ketidaktentuan 1 Syawal tidak wajar menjejaskan tumpuan terhadap ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan.

Loading...
Terkini