comscore
Tumpuan :
Nasional

Reformasi perkhidmatan awam dilaksana lebih pesat bulan ini – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Reformasi perkhidmatan awam akan dilaksanakan lebih pesat pada bulan ini bagi memperbaiki prestasi dalam semua bidang yang kurang memuaskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk memperbaiki perkara berkenaan.

“Kita minta sekarang ialah supaya beberapa langkah ‘reform’ (perubahan) dilaksanakan segera (seperti) penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan.

“Pertindihan perjawatan kadang-kadang yang kurang perlu, itu belum masih di tingkat memuaskan, laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit tentang kelembapan dan kecuaian beberapa pegawai itu pun belum ke tahap yang memuaskan.

“Semua ini harus kita lakukan kerana kita mesti lakukan anjakan yang sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan September di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Hadir sama, KSN, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan KPPA, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut Anwar, konsep MADANI menuntut semua pihak untuk melihat kerangka dan memberi tumpuan dari segi tatakelola, pemacuan pertumbuhan ekonomi serta keselesaan rakyat.

“Masalah rakyat (seperti) kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka sama ada boleh atau tak boleh, beberapa langkah prosedur yang harus mereka patuhi, itu semua harus kita cari kaedah baharu.

“Saya selalu menganggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan melakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan tuntutan masa kerana saya umpamanya apabila ambil jabatan (JPM) ada prosedur biasa yang telah dijalankan berpuluh tahun.

“Ada yang baik kita teruskan tapi ada yang perlu kita ubah suai dari sudut tumpuan, keutamaan dan sebagainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini