PAPAR: Sebanyak 6,500 ekor anak ayam rentung selepas satu deretan reban ayam musnah dalam kebakaran di Kampung Meligan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.14 pagi.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan satu deretan reban ayam jenis tidak kekal berkeluasan 60.96 meter persegi terbakar,” katanya.
Rozlan berkata api memusnahkan sepenuhnya reban ayam berkenaan manakala 6,500 ekor anak ayam turut rentung.
Api dapat dikawal pada jam 3.09 pagi.
Menurutnya, pemilik reban ayam itu menganggarkan mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit termasuk bagi kos reban, baja dan lain-lain.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Punca kebakaran masih disiasat.