Tumpuan :
Nasional

Rebah ketika baiki bumbung rumah ibu

FOTO: NSTP

SEGAMAT: Seorang lelaki meninggal dunia ketika sedang membaiki bumbung rumah ibunya.

Kejadian berlaku di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jabi, tengah hari tadi.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abdul Razak, berkata pihaknya menerima panggilan khidmat khas itu pada jam 12.38 tengahari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Keny Ismol Mohd.Noh Rahman tiba di lokasi pada jam 12.45tengahari.

“Setibanya di lokasi, didapati mayat lelaki berusia 60 tahun itu berada di atas bumbung.

“Komander operasi kemudian mengarah anggota untuk membawa mayat mangsa turun dengan alat pengusung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhd. Hazim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.30 tengahari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat SuperintendanAhmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat itu.

“Lelaki tersebut yang sedang membaiki bumbung rumah ibunya tiba-tiba rebah dan meninggal dunia dalam kejadian tengahari tadi.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.

Loading...
Terkini