Tumpuan :
Nasional

Realiti atau persepsi: Kemana haluan kerjaya program STEM?

Sering wujud persepsi retorik yang menebal dalam kalangan masyarakat mengandaikan bahawa pelajar yang lebih cemerlang sepatutnya memilih ke aliran sains semasa pemilihan aliran di tingkatan empat. Sebaliknya, pelajar kurang pandai pula cenderung dikaitkan dengan aliran sastera atau seni.

Persepsi yang kurang bernas ini adalah realiti yang cukup menjerat mentaliti pelajar yang terikat dengan pandangan stereotaip masyarakat. Kelonggaran dalam memilih aliran telah menyebabkan program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) diabaikan dalam pasaran pendidikan, bahkan kajian menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah pelajar aliran sains sejak tahun 2015.

Meninjau pendapat masyarakat di media sosial yang berbaur sinis mengenai graduan program STEM, dan bahkan turut menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi dalam dunia pekerjaan sekarang.

Graduan program STEM dikatakan sukar untuk lulus dengan cemerlang, mendapat persaingan yang sengit di sektor pekerjaan, tidak menjamin peluang pekerjaan, malah faktor gaji yang rendah juga turut dibahaskan.

Laporan Perangkaan Malaysia 2022 turut merekodkan peratus penawaran kerja tertinggi daripada program TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) berbanding STEM, turut mengiyakan telahan ini.

Berkongsi pemerhatian yang berlaku di sesetengah IPT, sebahagian program beraliran sastera atau seni menunjukkan peningkatan jumlah pelajar yang sangat memberangsangkan berbanding program aliran sains.

Daripada perspektif yang berbeza, keterbatasan peluang pekerjaan dalam program STEM telah menarik minat para graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), yang ditafsirkan sebagai akses kepada pasaran kerja lebih luas dan dengan gaji yang lebih lumayan.

Bakal graduan pada saat ini ternyata cenderung mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mencorak jaminan masa hadapan mereka. Dengan dorongan ibubapa, mereka berpeluang merencana program pilihan yang sewajarnya bersandarkan kemampuan dan minat mereka. Sesetengah ibubapa juga lebih rasional dan terbuka dengan memberi kebebasan memilih asalkan ianya menjamin peluang kerjaya untuk anak mereka.

Usaha secara sistematik dalam menangani penyusutan penawaran kerja untuk graduan STEM harus ditangani secara berhemah, perlu juga ada perancangan yang kukuh daripada institusi pendidikan menilai semula dasar penawaran kurikulum yang dibuat, dan mungkin pendedahan awal dalam pelbagai bentuk program kesedaran yang lebih efisien seterusnya menarik minat pelajar perlu terus dilestarikan secara berkala, seperti yang disarankan Perdana Menteri.

Tidak dinafikan, faktor status negara maju juga menjurus kepada keperluan sumber manusia yang beraliran sains, berprestasi tinggi dan kompeten. Oleh itu kecenderungan memilih aliran yang betul adalah langkah strategik dalam menentukan hala tuju penentu tenaga kerja yang relevan dengan permintaan industri.

 

*Artikel ini ditulis oleh Dr Nurul Wahidah Mahmud Zuhudi, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Taylor’s University

Loading...
Terkini