Tumpuan :
Nasional

RCI Batu Puteh: Tiada unsur dendam terhadap Tun Mahathir – PM

Anwar menjelaskan isu RCI Batu Puteh tiada sebarang kaitan dengan unsur dendam terhadap Tun Mahathir.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada sebarang unsur dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu kedaulatan Batu Puteh.

Anwar sebaliknya menjelaskan, Jawatankuasa Pasukan Khas telah diwujudkan ketika kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tak timbul pun (dendam). Jawatankuasa Pasukan Khas itu dibuat sebelum saya pun (Perdana Menteri).

“Itu masa Ismail Sabri Perdana Menteri, Menterinya Hamzah Zainuddin, Menterinya Takiyuddin dan dapatannya lebih teruk lagi… jadi tak usahlah (jadikan isu),” katanya ketika ditemui selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum SMKA Putrajaya hari ini.

Tegasnya lagi, isu berkenaan sememangnya tidak boleh diambil ringan dan ia merupakan pendirian jelas negara.

Mengulas mengenai tindakan terhadap Tun Mahathir, Anwar berkata, beliau menjelaskan perkara itu sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara.

“Ini soal wilayah mana boleh (ambil ringan). Ada ke negara yang izinkan begitu mudah serah (kedaulatan). Tak boleh, itu prinsip.

“Saya tak cadang apa-apa (tindakan Tun Mahathir) itu saya serah pada Jabatan Peguam Negara,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, pembangkang mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh terdapat unsur dendam dan berniat jahat terhadap seseorang individu.

Sebelum itu, Tun Mahathir menjelaskan, keputusan berkait pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri, termasuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini