Tumpuan :
Nasional

RCI Batu Puteh: Serah kedaulatan dianggap pengkhianatan besar pada negara – PM

Foto: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Isu kehilangan hak dan kedaulatan ke atas Batu Puteh dianggap satu tindakan pengkhianatan besar kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu seumpama itu harus diperjuangkan habis-habisan.

“RCI itu mendedahkan kelemahan bahkan dari segi sudut pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah kita itu patut kita perjuangkan habis habisan.

“Tetapi nampak ada satu kegagalan dan ini telah didedahkan bagi saya bukan satu perkara yang ringan iaitu apa-apa kesalahan yang terlibat dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar hari ini.

Beliau mengulas demikian berikutan keputusan RCI Batu Puteh yang mengesyorkan siasatan jenayah untuk dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu sepenuhnya terhadap proses undang-undang yang selanjutnya.

“Bagaimanapun, proses undang-undang harus dihormati jadi kita tengok proses berikutnya,” ujarnya lagi.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Sebelum ini, Perdana Menteri juga menyatakan, Malaysia berpendirian, isu Batu Puteh mampu diselesaikan menerusi pembabitan langsung Peguam Negara dan Singapura melalui proses rundingan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini