Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Setiausaha Jemaah Menteri memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Penubuhan RCI ini dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, cadangan ahli itu akan mengambil kira komposisi pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam.
Selain itu, cadangan ahli juga diharap dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak berkaitan.
Terdahulu, pada 29 Oktober 2021, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Pasukan itu terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.
Pasukan berkenaan ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.
Pada 7 Oktober 2022, pasukan terbabit membentangkan laporan yang disediakan dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 November 2021 sehingga 30 Ogos lalu.
Beberapa syor dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil merangkumi ‘legal aspects’, ‘tort of misfeasance’ dan hubungan Malaysia-Singapura.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada Jun 2017, Malaysia membuat permohonan kepada ICJ berhubung pentafsiran penghakiman.
Bagaimanapun, pada Jun 2018, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik semula permohonan membatalkan keputusan ICJ yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.