Tumpuan :
Nasional

Razarudin dapat injuksi, Papagomo diarah padam kandungan berunsur fitnah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kanan) berjaya mendapatkan perintah injunksi untuk menghalang blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo daripada terus mengeluarkan kenyataaan berunsur fitnah terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berjaya memperoleh perintah injunksi bagi menghalang blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, daripada terus menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Perintah injunksi dipohon Razarudin adalah berkaitan kes saman fitnah difailkannya pada 26 Disember lalu, berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan dirinya dengan perkataan tidak senonoh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan injuksi berkenaan selepas mendapati bahawa Razarudin menunjukkan wujudnya isu yang serius dan perlu dibicarakan.

Techiong mengeluarkan perintah injunksi ex-parte (satu pihak) yang melarang dan menghalang Papagomo daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.

Selain itu, beliau juga mengeluarkan perintah injunksi ex-parte yang melarang dan menghalang Papagomo
daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi, iaitu secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian, di platfom media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan Whatsapp.

Papagomo juga dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin.

Mahkamah turut menetapkan 10 Januari ini bagi permohonan pendengaran injunksi secara dua belah pihak.

Sebelum ini, peguam Razarudin, Raam Kumar memberitahu media, notis tuntutan saman itu sudah diserah kepada Papagomo yang dinamakan sebagai defendan.

Katanya, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Papagomo dalam satu klip video.

Susulan itu, Razarudin mengesahkan PDRM sudah merakam keterangan Papagomo berhubung kes itu di Balai Polis Setapak, pada 19 Disember lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini