Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Razarudin dilantik Ketua Polis Negara, Ayob sebagai Timbalan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid dilantik sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun secara kontrak selepas bersara berkuat kuasa Jumaat ini sehingga 22 Jun 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Razarudin seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.“

Razarudin berumur 61 tahun, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

“Beliau memulakan tugas pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di daerah Muar, Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razarudin kemudian dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada 1997, sebelum kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan sama di Kontinjen Johor, tahun berikutnya.

Pada 2000, beliau meneruskan khidmat di JSJ Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, seterusnya ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar, Kedah dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan, Sabah.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun, serta ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

Sekembalinya dari belajar, Razarudin dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

Setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Razarudin dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah pada 2016 dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 2021 sehingga kini.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” kata Saifuddin.

Media sebelum ini melaporkan, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Acryl Sani akan meninggalkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara pada minggu pertama bulan depan meskipun kontraknya hanya akan tamat pada 3 Oktober ini.

Sumber memaklumkan, Acryl Sani terpaksa berundur lebih awal kerana perlu menerima tawaran kerja lain iaitu bakal dilantik menerajui sebuah syarikat perbankan milik kerajaan dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini