Tumpuan :
Nasional

Rayuan Titah Adendum: Mahkamah Rayuan benarkan rayuan semakan kehakiman Najib

Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam keputusan secara majoriti 2-1 panel tiga panel hakim benarkan rayuan Najib berhubung kewujudan titah Adendum Januari tahun lalu.

Oleh: Fareez Azman

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengemukakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam yang lain menjawab serta mengesahkan kewujudan titah Adendum Januari tahun lalu. 

Keputusan itu dibuat secara majoriti 2-1 oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.

Dalam keputusan penghakiman berbeza, Hakim Mohd Firuz mendapati mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu dalam kes berkenaan. 

Justeru itu, panel Hakim memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman dijalankan dan diputuskan. 

Mahkamah turut menetapkan 13 Januari depan bagi tarikh pengurusan kes dihadapan hakim berlainan. 

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Pada 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC, Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini