comscore
Tumpuan :
Nasional

Rayuan subsidi diesel akan dibentangkan ke kabinet setelah selesai analisis – KPDN

Datuk Armizan Mohd Ali pada Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini. Foto NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum rayuan pelbagai pihak berhubung subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu akan dibentangkan untuk pertimbangan kabinet setelah ia selesai dianalisis oleh Jawatankuasa Rayuan.

“Kita telah ambil maklum tentang rayuan daripada pelbagai pihak termasuk mereka yang terlibat dengan trak tunda (dan) semuanya tengah dipertimbangkan.

“Kita sedang analisis justifikasi yang telah mereka kemukakan dan sebaik sahaja Jawatankuasa Rayuan emmbuat analisis tersebut kita akan bentangkan untuk pertimbangan kabinet.

“Buat masa ini keputusan belum lagi dibuat (kerana) kita masih membuat analisis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini.

Tambahnya, pihak yang layak menerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) adalah sektor pengangkutan ataupun sektor yang terlibat dalam penghantaran barangan dan perkhidmatan penting.

“Prinsip asasnya adalah mereka yang layak untuk SKDS ini adalah sektor-sektor ataupun jenis pengangkutan yang terlibat dalam penghantaran barangan dan perkhidmatan penting yang digunakan secara harian oleh komuniti.

“Itu asasnya lebih fokus kepada penghantaran barangan yang penting dan mustahak untuk kegunaan harian rakyat kita yang juga mensasarkan kepada komuniti yang besar,” katanya.

Namun jelas Armizan, kerajaan terbuka dengan sebarang rayuan seperti mana yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan membuat pertimbangan sebaik mungkin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini