Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rayuan kepada Agong usaha terakhir bebaskan Najib – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi temu bual menerusi siri Podcast Utama Buletin TV3.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan usaha terakhir yang mampu dibuat UMNO.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha membela Datuk Seri Najib telah digerakkan dari peringkat awal dan kini berada di fasa terakhir dalam menuntut pembelaan bekas pemimpin itu.

Ahmad Zahid turut berkata, hanya individu yang tidak mengenang budi akan terus membiarkan nasib Datuk Seri Najib selain bertegas tidak akan pernah berganjak dalam usaha membantu rakan politiknya itu.

“Hanya orang yang tak rasional akan tinggalkan orang yang pernah berbudi kepada dia. Oleh kerana beliau (Najib) bukan sahaja boss, sahabat, adik beradik walaupun bukan sedarah sedaging tetapi itulah yang ada pada saya (pendirian).

“Kita telah lakukan di peringkat perundangan sampai ke peringkat akhir, kini lembaga pengampunan di bawah Agong dan inilah usaha yang terakhir sedang kami lakukan.

“Kita telah bertindak supaya peguam Najib mohon pengampunan penuh kepada Agong bagi pihak Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual menerusi siri Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Mengulas lanjut, UMNO sendiri berhubung rapat dengan keluarga Datuk Seri Najib berhubung apa jua perkembangan mengenai perjuangan membebaskan bekas pemimpin itu.

Sebagai Presiden parti, beliau turut menyatakan bahawa usaha itu sememangnya menjadi sebahagian daripada agenda wajib dalam setiap mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Setiap kali mesyuarat MKT UMNO, perkara itu akan dibawa dan itulah hubungan peribadi saya dengan Najib termasuk ahli keluarga beliau yang kita jalin ukhwah yang baik bersama mereka.

“Insya-Allah… saya tak akan pernah lari daripada membantu Najib. Bila dia akan datang (bebas) itu kita serah kepada perkenan Agong,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Datuk Seri Najib untuk memulakan prosiding semakan keputusan berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah Adendum pada Januari tahun lalu.


 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini