Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Permohonan bagi rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1446H/2025M dibuka mulai hari ini sehingga 31 Januari tahun depan.
Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun berkata, permohonan rayuan boleh dibuat melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI.
Menurutnya, proses rayuan haji dibuka lebih awal bagi mengelakkan proses rayuan haji dilakukan pada saat-saat akhir.
“TH akan memberi keutamaan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji pada musim haji 1446H/2025M,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pendeposit TH boleh memuat turun aplikasi THiJARI melalui App Store atau Play Store atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my untuk mengetahui proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan.
Sebelum ini, media melaporkan, surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1446H/2025M dikeluarkan secara berperingkat bermula Isnin lalu.
Kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.