KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong daripada Pakatan Harapan (PH) RSN Rayer mencadangkan supaya kerajaan menarik balik gelaran Tun yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rayer mendakwa ia susulan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu melakukan penghinaan terhadap institusi diraja dan pembabitannya dalam Proklamasi Orang Melayu.
“Tolonglah hentikan serangan-serangan terhadap kerabat (institusi) diraja. Saya juga minta kerajaan pertimbangkan supaya gelaran Tun beliau ditarik balik kalau beliau masih lagi meneruskan serangan-serangan ini.
Kita lihat beliau (Dr Mahathir) melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang telah mengkhianati beliau sebelum ini.
Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat pada sesi petang, hari ini.
Pada 31 Oktober 2003, Tun Dr Mahathir dianugerahi darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun sebaik sahaja melepaskan jawatan perdana menteri yang dipegangnya selama 22 tahun.
Anugerah S.M.N. yang diterima oleh Tun Dr Mahathir adalah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama.
Darjah Kebesaran itu terhad kepada 25 orang tidak termasuk jumlah warga negara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.
Penyandang darjah ini membawa gelaran Tun dan isteri penyandang bergelar Toh Puan.
Dalam kenyataan dikeluarkan Bukit Aman pada Jumaat lalu, polis sudah merakam percakapan Tun Dr Mahathir susulan kenyataannya yang dikatakan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan berhubung Proklamasi Orang Melayu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata kes masih di peringkat siasatan.