![](https://media.buletintv3.my/2025/01/BULETIN-TV3-AD-15.jpg)
KUALA LUMPUR: Suasana di Jalan Semarak di sini, pagi tadi, bingit selepas ia digunakan sebagai ‘litar’ buat ratusan samseng jalanan bagi menguji dan mempamerkan kehebatan jentera masing-masing di khalayak ramai.
Tinjauan media di lokasi bermula 2 pagi mendapati sepanjang jalan itu dipenuhi ‘mat rempit’ yang rata-rata hadir ke kawasan itu selepas sambutan ambang tahun baharu pada tengah malam tadi.
Suasana bertambah bingit kira-kira sejam kemudian apabila lebih banyak kumpulan penunggang motosikal hadir di sepanjang jalan itu.
Bunyi deruman enjin dan ekzos motosikal yang diubah suai memecah kesunyian malam itu bagaimanapun suasana bertukar panik selepas ratusan samseng jalanan cuba melarikan diri bagi mengelak daripada termasuk ke dalam ‘pukat’ pihak polis.
Cubaan mereka untuk lolos, gagal apabila polis berjaya menahan ratusan penunggang motosikal dan pembonceng, menerusi Ops Samseng Jalanan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, 147 motosikal diperiksa menerusi operasi itu.
Katanya, operasi itu bermula 3 hingga 5 pagi, dan kesalahan tertinggi dicatatkan berkaitan nombor pendaftaran sebanyak 27 saman, tiada lesen (26), tidak pamer stiker L/P (21), tiada cermin sisi (tujuh), tiada brek (satu) dan lesen tamat tempoh (tiga).
“Tumpuan operasi adalah kepada samseng jalanan yang masih berlegar di pusat bandar walaupun sambutan ambang tahun baru sudah berakhir.
“Pemeriksaan mendapati kebanyakan motosikal yang ditahan diubah suai secara tidak sah, termasuk tiada brek, ekzos yang diubah suai, serta pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis turut mengesan pengguna media sosial yang membuat siaran langsung aktiviti samseng jalanan itu yang seolah-olah mempromosikan gejala tidak sihat berkenaan.
Katanya, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan gejala samseng jalanan kepada generasi muda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.