Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Ratusan orang menghadiri upacara penghormatan terakhir mendiang Ananda Krishnan di Jalan Berhala Brickfields, hari ini.
Upacara berkenaan bermula pada jam 5 petang hingga 9 malam.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di dalam kawasan upacara diadakan.
Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa mula beratur sejak 2 petang tadi.
Sementara itu, ketika ditemui krew TV3, Mugan Murugiah, 68, yang beratur sejak tengah hari tadi berkongsi bahawa mendiang merupakan inspirasinya.
“Mendiang merupakan mentor saya. Ciri-ciri beliau yang paling saya kagumi ialah beliau bekerja tanpa berehat tidak kira dari pagi hingga malam,” katanya.
Low Kean Heng, 55 berkata dia mendidik anaknya untuk mencontohi jalan kerjaya mendiang kerana sumbangannya dalam pembangunan negara dan dunia korporat memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Saya suruh anak saya mencontohi pelabur Malaysia kita, dia merupakan salah seorang yang sangat berjaya,” katanya.
Ananda yang meninggal dunia di Switzerland, mempunyai seorang anak lelaki yang juga seorang sami Buddha serta dua anak perempuan.
Dilahirkan pada 1 April 1938 di Brickfields, Ananda atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, muncul salah seorang tokoh perniagaan paling terkemuka di Malaysia.
Lepasan Harvard Business School, Ananda mengasaskan syarikat pegangan pelaburan, Usaha Tegas Sdn Bhd dan seterusnya Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.
Kepimpinan dan strategi korporat beliau mendorong Maxis menjadi salah satu penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.
Media kewangan Forbes melaporkan kekayaan Ananda bernilai AS$5.1 bilion setakat 27 November 2024 yang membolehkan beliau berstatus orang ke-667 terkaya dunia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.