comscore
Tumpuan :
Nasional

Rasuah projek lebuh raya: Pengerusi syarikat bergelar Datuk antara dua lagi direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang pengerusi dan pengarah syarikat sub kontraktor ditahan reman kerana dipercayai terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Suspek iaitu pengerusi syarikat bergelar Datuk telah direman selama lima hari sehingga Sabtu ini, manakala pengarah syarikat pula direman tiga hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek adalah lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan antara jam 9 hingga 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Kedua-dua suspek disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.

“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman.

Ini termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya yang dilepaskan semalam dengan jaminan RM150,000.

Sebelum ini, SPRM menahan reman sembilan individu termasuk CEO dan tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini