Tumpuan :
Nasional

Rasuah projek lebuh raya: Dua lagi pengarah syarikat direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu kerana dipercayai terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Menurut sumber, kedua-dua suspek iaitu pengarah syarikat sub kontraktor sebuah syarikat berusia lingkungan 50-an ditahan antara jam 5 petang hingga 7 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Kedua-dua suspek merupakan pengarah dari syarikat yang sama disyaki memberi rasuah kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain,” katanya.

Susulan penahanan itu, suspek masing-masing seorang lelaki dan perempuan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Mereka direman selama lima hari sehingga Ahad ini dan perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Semalam, seorang pengerusi bergelar Datuk dan pengarah syarikat sub kontraktor ditahan reman kerana dipercayai terbabit rasuah kes sama.

Terdahulu, SPRM menahan reman sembilan individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) dan tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini