Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat konsesi lebuh raya ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000 yang membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM6 bilion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menerima rasuah berjumlah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 billion,” katanya.
Susulan penahanan tersebut, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pagi tadi dan perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, media melaporkan, SPRM menahan reman beberapa individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) dan tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.
Kesemua mereka telah dibebaskan tahanan reman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Rasuah projek lebuh raya: Ketua penolong pengarah badan berkanun pula direman
- Rasuah projek lebuh raya: Reman empat suspek termasuk CEO syarikat konsesi disambung 4 hari
- Rasuah projek lebuh raya: Pengerusi syarikat bergelar Datuk antara dua lagi direman
- Rasuah projek lebuh raya: Dua lagi pengarah syarikat direman