Oleh: Fareez Azman
KAJANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah menerima surat daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta diberi perlindungan dan diimuniti dibawah Akta Pemberi Maklumat 2010 berhubung kes rasuah yang ingin dibongkarkan individu terbabit.
Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini SPRM belum menerima sebarang laporan rasmi daripada wakil rakyat itu.
“Memang dia (ADUN) ada hantar surat kepada saya sebelum peguam berkenaan berjumpa dengan pegawai kanan saya seperti saya maklumkan.
“Dari sudut SPRM sebab itu saya arahkan dua pegawai kanan saya untuk bertemu peguam berkenaan bagi berbincang secara sulit.
“Kita hormati profesion peguam yang mewakili anak guamnya, namun malangnya mereka telah pergi ke media,sekarang timbul pelbagai cerita,”jelasnya.
Mengulas sama ada Akta Pemberi Maklumat 2010 terpakai terhadap ADUN berkenaan, tegas Azam siasatan akan dijalankan bagi memastikan pemberi maklumat tidak terlibat dalam sebarang transaksi dalam kegiatan rasuah.
Sekiranya ada, akta terbabit ujarnya tidak terpakai terhadap individu berkenaan.
“Saya nak tahu, apa peranan ADUN ini, ini cuma keluar dari sosial media, sebagai Ketua Pesuruhjaya dan agensi penyiasat saya tidak boleh brgantung dalam sosial media.
“Sama ada itu video dimaksudkan atau tidak saya tidak tahu, kepada kami audio berdurasi 17 saat sahaja diberikan jadi saya tidak boleh komen bab itu.
“Kalau sekiranya dikatakan pemberi maklumat itu seorang terlibat dalam transaksi berkenaan….perbuatan memberi dan sebagainya. Dia juga telah melakukan satu kesalahan jadi dengan itu akta terbabit tidak terpakai kepada beliau,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Menembak SPRM bersama Media di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.