Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
CHUKAI: PAS mengekalkan penguasaan di Parlimen Kemaman apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.
Ahmad Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, malam ini.
“428 kertas undi ditolak dengan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 65.76 peratus,” katanya.
Sebanyak 65.7 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka di 49 pusat mengundi.
PRK kerusi P.040 Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan penyandang kerusi Parlimen itu dari Pas, Che Alias Che Hamid pada 26 September lalu.
Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi selepas meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.