comscore
Tumpuan :
Nasional

Rasionalisasi subsidi: Kerajaan jamin tidak bebankan golongan menengah dan rendah

Oleh: Juliana Sharin & Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan sebarang rasionalisasi subsidi yang ingin dilakukan tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang penyesuaian yang menyukarkan golongan itu dikhuatiri menambah beban yang sedia ditanggung.

“Tetapi saya beri jaminan bahawa apapun rasionalisasi subsidi yang dilakukan tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.

“Ini kerana sebarang penyesuaian yang membebankan mereka akan menambah beban sedia ditanggung golongan miskin,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Awnar turut menerangkan mengenai kenyataan beliau sekiranya menjawat jawatan tertinggi negara, harga petrol akan diturunkan kepada RM1.50 seliter.

Jelasnya, kenyataan itu telah dipersetujui oleh gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat pada 2008.

“Bila saya sebut perkara itu, PKR, DAP dan PAS bersama. Apa yang saya sebutkan itu dipersetujui oleh PKR, DAP dan PAS,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bingkas bangun menafikan PAS ketika itu ikut setuju.

“Saya bersama masa itu, dan saya nak beritahu PAS tidak pernah bersetuju dengan perkara itu,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu kemudiannya bangun memperbetulkan bahawa PAS ketika itu bersetuju.

“Saya setuju, masa itu Tuan Ibrahim masih junior. Dia belum lagi pimpinan. Masa itu saya pimpinan dan saya mengalahkan dia masa pemilihan. Dia hanya terlibat masa Forum Perdana sahaja,” katanya.

Loading...
Terkini