Oleh: Izzatie RizanPETALING JAYA: Rapid Rail akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan insiden cabul melibatkan penumpang wanita di stesen LRT Maluri semalam.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan pasukan polis dengan bantuan Polis Bantuan Prasarana.
Rapid Rail kesal dengan kejadian yang berlaku dan tindakan segera telah diambil dengan menambah anggota polis bantuan di setiap stesen bagi meningkatkan kawalan keselamatan sekaligus mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.58 pagi semalam, seorang lelaki telah bertindak menceroboh trek LRT Maluri menerusi platform 1 ke platform 2 .
Suspek kemudian dipercayai cuba mencabul salah seorang wanita yang sedang menunggu tren di platform tersebut.
Orang awam yang melihat kejadian telah berjaya membantu meleraikan mangsa daripada suspek, namun gagal diberkas kerana tindakannya yang agresif.
Suspek bagaimanapun sekali lagi bertindak menceroboh landasan dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen sebelum meloloskan diri dari stesen tersebut pada jam 8.05 pagi.