RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter susulan hujan lebat dan limpahan air Sungai Golok sejak malam tadi.
Tinjauan sekitar pekan itu mendapati operasi perniagaan di zon bebas cukai berkenaan ditutup sepenuhnya, selain ada premis yang turut dimasuki air.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Anwar Abu Bakar, berkata pihaknya membuat pemantauan dan tinjauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk di pekan Rantau Panjang.
“Kami turut menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas berlaku peningkatan paras air secara mendadak.
“Jika hujan berterusan, paras air di pekan Rantau Panjang dijangka lebih tinggi, namun kita harapkan agar cuaca kembali baik dan bah reda dengan cepat.
“Mengikut laporan yang diterima, ketiga-tiga pintu masuk utama ke pekan digenangi air sejak malam tadi dan hanya kenderaan berat yang boleh melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui selepas beliau turut sama menyertai misi menyelamat mangsa banjir di sini, hari ini.
Anwar turut mengambil peluang menasihati masyarakat setempat untuk tidak bermain air terutama golongan kanak-kanak bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Setakat ini, sebahagian besar mangsa di kawasan kritikal sudah selamat dipindahkan di tempat bebas banjir dan PPS, namun peringatan tetap diberikan kerana bimbang lokasi lain turut dinaiki air.
“Kami turut memfokuskan misi menyelamat golongan seperti orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang perlu dibantu atau diangkat ketika diharungi banjir,” katanya.
Menurutnya kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut melancarkan operasi banjir.