Tumpuan :
Nasional

‘Ranking’ sekolah terbaik SPM, bukan dalam radar KPM

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kedudukan sekolah terbaik di negara ini berdasarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin, tidak dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Gred Purata Sekolah (GPS) bukan bagi tujuan mempertandingkan sekolah dari segi kedudukan atau “ranking” keputusan SPM.

Justeru, mesej tular mengenai kedudukan itu di media sosial sejak semalam adalah di luar pengetahuan pihak kementerian.

“Jangan terpengaruh dengan kedudukan sekolah mengikut GPS. Kedudukan ini akan berubah, dan KPM tidak mempunyai sebarang komitmen berhubung kedudukan ini. Ianya bukan dalam rangka dan radar KPM.”

“Apa yang penting adalah untuk melihat unsur kemajuan anak-anak kita melalui pendekatan dan pengukuhan ekosistem menerusi penglibatan ibubapa, guru dan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kecenderungan lepasan SPM untuk tidak melanjutkan pelajaran di Insitusi Pengajian Tinggi (IPT), Fadhlina berkata KPM menganjurkan pelbagai program galakan.

“Kita adakan ujian yang berkaitan dengan kemahiran mereka, bagi memberikan gambaran hala tuju pendidikan tinggi yang boleh dijadikan pilihan. Malah, kita juga adakan festival kerjaya, ceramah motivasi dan penglibatan aktif alumni sekolah.”

“Bagaimanapun, ada faktor luaran yang turut memberikan kesan kepada keputusan lepasan SPM ini terutamanya kemiskinan. Mereka lazimnya memilih untuk membantu keluarga dengan bekerja.”

Fadhlina berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kedah, di sini hari ini.

Loading...
Terkini