comscore
Tumpuan :
Nasional

Rangkaian 5G: Pemilihan U Mobile tidak libatkan pimpinan Kementerian Komunikasi – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Proses penilaian U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penerima Rangkaian 5G kedua Malaysia tidak melibatkan pimpinan Kementerian Komunikasi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebaliknya berkata, pemilihan syarikat itu adalah melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus atau ‘direct award’.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga meneliti penilaian itu secara bebas, berdasarkan tatakelola yang baik.

“Kerajaan melalui MCMC telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

“Pemilihan tersebut dilaksanakan melalui proses ‘beauty contest’ atau dalam bahasa mudah, melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung alasan kerajaan Persekutuan memberikan lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G, susulan, 48.28 peratus saham equiti syarikat itu dipegang oleh syarikat asing dari Singapura iaitu Straits Mobile Investment Pte Ltd.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada syarikat itu.

Malah, akuinya, U Mobile juga memberi komitmen untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.

“Keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus

“Manakala, pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.Keperluan ini diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

“Oleh itu, keputusan utuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini