Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rangka manusia ditemui ‘kaki pancing’ di tebing Sungai Malim

MELAKA: Seorang ‘kaki pancing’ terkejut selepas menemukan rangka manusia di tebing Sungai Malim di Taman Gadong Perdana, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan jam 5.10 petang, daripada seorang lelaki.

Beliau berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ke lokasi kejadian untuk memancing sebelum terjumpa rangka berkenaan.

RANGKA manusia yang ditemui di tebing Sungai Malim, petang semalam. FOTO: Ihsan PDRM

“Susulan itu, anggota forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) bergegas ke lokasi.

“Hasil siasatan dijalankan bersama pakar patalogi Jabatan Forensik Hospital Melaka mengesahkan ia adalah rangka manusia.

“Rangka itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kerana separuh daripadanya tertimbus dengan daun serta tanah,” katanya.

Menurut beliau, rangka manusia itu dipercayai diangkat naik dari sungai oleh jengkaut yang menjalankan kerja-kerja pembesaran sungai di kawasan terbabit.

“Hasil siasatan lanjut di lokasi tidak menemukan identiti si mati selain tiada unsur jenayah.

“Ia kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan di lokasi masih berjalan dan Unit K9 sedang mengesan sekiranya terdapat lagi cebisan rangka serta bukti berkaitan.

Loading...
Terkini