BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak sebulan lalu, dijangka terjawab susulan penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, di sini, hari ini.
Rangka itu ditemui pada tengah hari tadi bersama-sama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.
Motosikal terbabit ditemui tersangkut celah batang pokok bersebelahan kebun durian.
Selain itu, turut ditemui jaket dan juga topi keledar.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka terbabit.
Hafiz Fauzan adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 25 Mei lalu, untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.
Bapanya Abd Halid Sugiman, 44, berusaha mencarinya termasuk meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk diperoleh.
Ini kerana, bapanya khuatir terdapat kemungkinan anak ketiga daripada tujuh beradik terjatuh dalam parit.
Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan keluarga Hafiz Fauzan serta bantuan rakan kepada bapanya namun menemui jalan buntu.
Hafiz Fauzan dilaporkan meminta izin bapanya mahu menonton perlawanan akhir bola sepak dengan menunggang sebuah motosikal.
“Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama-sama di Yong Peng, jadi kami tiba di rumah sekitar jam 10 malam. Dia pun minta izin keluar nak tonton final bola sepak di rumah rakannya itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.