comscore
Tumpuan :
Nasional

Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 tangani kesenjangan dasar sedia ada

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 yang akan diumum pada Mei ini akan menangani kesenjangan dasar sedia ada berkaitan sumber manusia.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia termasuk agenda masyarakat menua, isu pemerkasaan golongan wanita serta pasaran kerja baharu seperti industri digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Sebenarnya (Rangka Kerja) Dasar Sumber Manusia Negara ini ingin melihat lebih kepada jurang ataupun kesenjangan yang ada pada dasar masa kini contohnya dalam dokumen dasar seperti Rancangan Malaysia (RMK) dan sebagainya. Apa kesenjangannya? Agenda masyarakat menua, bagaimana kita nak berhadapan dengan pasaran kerja dengan isu agenda menua ini.

“Kemudian isu pemerkasaan wanita untuk kembali ke kerjaya mereka sebab kita ada sasaran untuk mencapai 60 peratus kadar penyertaan buruh wanita. Jadi kita hendak mencapai ke arah itu agak perlahan sekarang. Jadi kita nak melihat bagaimana boleh merancakkan lagi pencapaian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi ‘Town Hall’ Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Jelasnya, sesi ‘Town Hall’ yang julung kali diadakan itu bagi mendapatkan input dan pandangan pemegang taruh untuk menghasilkan rangka kerja berkenaan.

Seramai 1,000 peserta hadir dari pelbagai sektor melibatkan penjawat awam, swasta, majikan, wakil kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) belia, NGO wanita serta yang mewakili golongan orang kurang upaya (OKU).

“Wakil majikan mereka ingin melihat kepada kos perniagaan yang lebih kompetitif, contohnya mengurangkan proses mengurangkan birokrasi, permohonan dan sebagainya. Manakala di pihak sektor kesihatan, mereka ingin melihat kepada kebajikan pekerja dan gaji yang lebih baik ataupun persekitaran suasana tempat kerja yang lebih sesuai.

“Di peringkat NGO pula, kita ada mendapat maklum balas tentang pengiktirafan terhadap ekonomi ihsan yang mungkin sering tidak dipandang sebagai ekonomi yang sebenar seperti jaga anak atau jaga orang tua. Tapi pendirian kita di peringkat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ialah kita mengiktirafkan ekonomi ihsan sebagai ekonomi sebenar.

“Kita dalam proses untuk melihat bagaimana kita boleh membuat pemerkasaan latihan kemahiran kepada pekerja, pekerja ekonomi ihsan dan juga perlindungan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja sektor ini. Sudah tentu juga ada wakil pekerja gig yang telah memberikan cadangan dan saranan,” katanya.

Mengulas lanjut, Steven berkata, bagi yang tidak sempat menghadiri sesi ‘town hall’ dan sesi libat urus yang diadakan sejak Januari lalu, mereka boleh melayari portal maklum balas di bawah KESUMA yang akan beroperasi selama sebulan bermula hari ini.

Portal itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk memberikan maklum balas mengenai rangka kerja dasar terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini