Tumpuan :
Nasional

Rancang perjalanan, guna laluan lama elak kesesakan

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Leburaya Pantai Timur Satu (LPT1) bertambah sesak sejak petang tadi bermula di Bentong, Lintang, Genting Sepah dan Bukit Tinggi.

Ia berikutan peningkatan jumlah kenderaan dari ke dua-dua arah terutama dari Pantai Timur menghala ke ibu kota.

Ekoran kesesakan itu, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1, ANIH Berhad terpaksa membuka satu lorong manual di Plaza Tol Termerloh, Pahang.

Pengguna Lebuhraya Amri Hasim yang ditemui di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sepah berkata dia memulakan perjalanan dari Kelantan lebih awal kerana bimbang episod terperangkap dalam kesesakan trafik selama 16 jam tahun lalu berulang.

“Hari ini saya bertolak lebih awal iaitu pada jam 5 pagi kerana takut berdepan dengan kesesakan luar jangkaan seperti tahun lalu.

“Walaupun perjalanan kami mengambil masa 10 jam dari Kelantan untuk sampai ke R&R lewat 2 jam tapi saya bersyukur kerana ia tidak memakan terlalu lama seperti tahun lalu,”katanya.

Sementara itu, Mat Ali Wahab dari Maran berkata dia memilih menggunakan laluan lama Bentong bagi mengelak kesesakan.

“Kalau balik daripada Maran saya terpaksa menghadap sahaja jem sampai lah ke Karak.

“Sebaik sahaja tiba di Bentong saya akan lalu di jalan Bentong Lama. Walaupun jalan agak berliku dan berlubang tapi ia lebih baik daripada terpaksa menghadap jem terlalu lama,”katanya.

Mat Ali berkata, dia berharap pihak berwajib segera memikirkan jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas setiap kali perayaan kerana masalah itu sudah pun berlarutan sejak sekian lama.

Sementara itu, melalui kenyataan yang dikeluarkan ANIH Berhad, bermula jam 12 tengah malam hingga jam 5 petang tadi jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya KLK ialah sebanyak 121,116 kenderaan manakala di LPT1 pula sebanyak 53,689 kenderaan.

Loading...
Terkini