Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rampasan rokok seludup hampir RM1 juta 

 

 

TUMPAT: Lebih 900,000 batang rokok seludup pelbagai jenama berjumlah hampir RM1 juta termasuk cukai dirampas dalam tiga serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Selasa lalu.

Seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai ‘transporter’ yang membawa bekalan rokok dari selatan tanah air turut ditangkap untuk siasatan.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama dibuat di tepi jalan di Kampung Gong Stopa, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada 10.30 malam.

“Sebuah kereta Perodua Bezza ditahan dengan muatan kira-kira 100 karton rokok seludup membabitkan 20,520 batang yang dimuatkan di tempat duduk penumpang belakang serta but belakang.

“Siasatan awal terhadap pemandu terbabit mendapati dia menerima upah RM15 untuk satu peti (100 karton),” katanya pada sidang media di pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan kemudian dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Dato’, Pasir Puteh yang berjaya merampas 28,800 batang rokok seludup.

Katanya, serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Machang, Machang pada 11 malam dengan 850,720 batang rokok pelbagai jenama dirampas.

“Siasatan mendapati kedua-dua lokasi itu dijadikan transit penyimpanan rokok seludup sebelum diagihkan untuk pasaran tempatan.

“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk rokok itu menggunakan kenderaan penumpang dengan jumlah sedikit dan menyimpan di lokasi transit sebelum diedarkan,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengulas mengenai kawalan sempadan sempena Ramadan ini, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya menjalankan Op Makmur di negeri ini, Terengganu dan Pahang bermula awal Ramadan sehingga 16 April ini.

“Untuk Kelantan, kita sudah kenal pasti kawasan yang menjadi lokasi panas kegiatan penyeludupan, manakala di Tumpat sahaja, lebih 40 pangkalan haram aktif dikesan sebagai lokasi jenayah rentas sempadan,” katanya.

Loading...
Terkini