Tumpuan :
Nasional

“Ramasamy sahabat saya” – PM

Datuk Seri Anwar ditemui wartawan di Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di ibu negara

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Prof Dr P Ramasamy diharap tetap memainkan peranan membantu kerajaan biarpun telah membuat keputusan keluar dari DAP.

Menganggap Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang itu sebagai sahabat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ramasamy faham keadaan dihadapi kini.

“Ramasamy sahabat saya, saya akan tentunya dapat pandangan daripada dia, dia faham keadaan dan desakan kita, mungkin ada masalah khusus dalam parti tetapi saya harap dia main peranan untuk membantu kerajaan dalam pendekatan MADANI,” jawabnya ringkas apabila ditanya wartawan sama ada tindakan bekas Adun Perai selama tiga penggal itu akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Negeri terutama di Pulau Pinang.

Datuk Seri Anwar ditemui pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di ibu negara.

Prof Dr P Ramasamy mengumumkan keluar dari DAP berkuatkuasa pada hari ini di Pusat Khidmat Adun Perai di Taman Chai Leng, Perai, Pulau Pinang.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan Pengerusi DAP Cawangan Taman Chai Leng kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada jam 8.24 pagi tadi.

Manakala surat peletakan jawatan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dihantar kepada Pengerusinya, Chow Kon Yeow.

Loading...
Terkini