Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
SUNGAI BULOH: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di sini, Khamis lalu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam satu kenyataan hari ini berkata, isu berkenaan merupakan isu serius kerana melibatkan kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran.
“Saya memandang serius berhubung isu kebakaran tapak sampah haram kerana melibatkan isu kesihatan penduduk sekitar.
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu beliau memaklumkan, pihaknya juga telah mengarahkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk memantau rapat isu berkenaan.
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi isu kesejahteraan dan keselamatan rakyat di Parlimen Sungai Buloh.
Semalam Buletin TV3 melaporkan penduduk di sekitar kawasan Kampung Melayu dan Jalan Bukit Lagong dikejutkan dengan kebakaran besar yang berlaku di tapak sampah haram yang dipercayai telah beroperasi lebih dari setahun.
Dalam laporan berkenaan, penduduk mendakwa kebakaran yang berlaku empat hari lalu itu bukan hanya mencemarkan udara, malah turut memberi kesan kesihatan kepada penduduk sekitar yang tinggal kurang 500 meter dari kawasan tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.