KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat beserta angin kencang dijangka di lapan negeri termasuk empat negeri terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Selangor sehingga jam 7 malam ini.
Selain seluruh Perlis dan Perak, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, di Kedah, keadaan cuaca itu diramal berlaku di Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Katanya, di Terengganu membabitkan kawasan Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Selain itu, cuaca sama diramal di Selangor membabitkan kawasan Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak manakala Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang juga diramal di Johor (Segamat dan Mersing) selain Sabah membabitkan kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan,” katanya menurut hantaran itu.
METMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya
Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.