LABUAN : Masih ramai pengundi muda berumur 18 tahun dan ke atas di seluruh negara yang tidak tahu nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, warga Malaysia yang mencapai umur 18 tahun harus tahu mereka sudah disenaraikan sebagai pengundi secara automatik dalam daftar pemilih.
“Ramai pengundi muda mungkin tak tahu nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih…sekarang, cukup saja umur 18 tahun, automatik mereka menjadi pengundi… mungkin sesetengah tidak perasan (tersenarai sebagai pengundi).
“Beberapa kali saya berjumpa pengundi muda terutama pelajar, mereka tidak tahu nama sudah ada dalam daftar pemilih,” katanya selepas Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini, hari ini.
Susulan itu, Ismail Sabri berkata, ia tanggungjawab jentera Barisan Nasional (BN) untuk mendekati dan memberi penjelasan kepada pengundi muda seluruh negara.
“Jentera parti komponen BN harus mendekati dan memaklumkan pengundi muda ini di kawasan masing-masing serta memastikan mereka keluar mengundi bulan depan.
“Kalau tidak, mungkin mereka tidak akan tahu dan tidak keluar mengundi, jadi itulah yang kita akan lakukan, memberi makluman kepada mereka,” katanya.
Berhubung jumlah pengundi berdaftar yang didakwa mengalami peningkatan secara mendadak di Sabah, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan.
“Peningkatan mendadak bukan daripada pengundi muda… kalau dalam kalangan pengundi muda, kita faham tetapi pengundi yang didaftarkan… dalam hal ini, SPR harus buat siasatan dan jika didapati ada keraguan, kita serah kepada SPR untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Pada 20 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri itu akan mendapatkan maklumat lanjut daripada SPR berhubung jumlah pengundi berdaftar yang didakwa mengalami peningkatan secara mendadak.
Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai kebimbangan beberapa pihak berhubung perkara itu dan kerajaan negeri memerlukan maklumat lanjut mengenainya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Yeck Lee menyifatkan peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai amat mengejutkan.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, daftar pemilih yang dikeluarkan SPR menunjukkan peningkatan pengundi baharu di Sabah sebanyak 53.9 peratus iaitu daripada 1.1 juta orang pada 2018 kepada kira-kira 1.7 juta tahun ini.
Peningkatan luar biasa itu menyebabkan beliau mengesyaki wujud pengundi yang dihasilkan melalui skandal Projek IC (kad pengenalan) yang pernah menjadi isu di Sabah sebelum ini.
Katanya, berdasarkan kajian awal daftar pemilih 2022, kebanyakan pengundi baharu itu berumur antara 30-an hingga 60-an. – BERNAMA