KOTA BHARU: Banjir yang semakin memburuk di Kelantan dengan hujan kembali lebat sejak malam tadi sehingga pagi ini mengakibatkan ramai penduduk terperangkap dan merayu pihak berkuasa untuk diselamatkan.
Ada yang terperangkap dalam rumah apabila paras air naik mendadak sehingga terpaksa berendam dalam banjir sementara menunggu bantuan pasukan penyelamat.
Malah, ada yang berlindung di klinik dalam keadaan kesejukan dan kelaparan sebelum menunggu bantuan dari pasukan penyelamat untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Rayuan mohon bantuan itu mula tular di Facebook pagi ini dengan harapan kesemua mereka dapat diselamatkan dalam masa terdekat kerana bimbang keadaan menjadi lebih teruk.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Wildan Azhari, ketika dihubungi mengakui ramai penduduk terperangkap mulai malam tadi.
“Kita terima panggilan yang sangat banyak malam tadi mengatakan mereka terperangkap dan mohon bantuan untuk diselamatkan.
“Panggilan paling banyak diterima dari Pasir Mas dan Tumpat dan kita cuba sedaya upaya menyelamatkan penduduk yang terperangkap.
“Namun untuk waktu malam terutama jam 12 tengah malam ke atas, kita juga perlu memikirkan aspek keselamatan kerana kita tidak tahu keadaan lokasi bagaimana dan sebagainya menyebabkan kita tidak dapat menyelamatkan mereka pada waktu berkenaan.
“Namun sejak pagi tadi lagi kita berusaha membawa mereka yang terperangkap ke PPS. Malah, pagi ini juga pasukan bantuan dari JBPM Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur juga sudah tiba untuk membantu,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai sudah berpindah lebih awal bagi mengelak lebih ramai mangsa yang terperangkap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.