RANTAU PANJANG: Kebanyakan murid dan pelajar tinggal di Golok, Thailand yang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang tidak bersetuju untuk tinggal di asrama.
Sebaliknya mereka mendakwa sanggup menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) setiap hari bermula 1 Disember ini walaupun berdepan kesukaran.
Ada dalam kalangan mereka terutama murid sekolah rendah tidak pernah ada pengalaman tinggal di asrama yang menyebabkan mereka enggan berbuat sedemikian.
Difahamkan, sebuah sekolah rendah di sini yang mempunyai 40 murid yang tinggal di Golok, kesemua mereka menolak untuk tinggal di asrama.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang yang dikenali sebagai Amira berkata, dia sudah dimaklumkan pihak sekolah berhubung tawaran tinggal di asrama.
Katanya, sepanjang belajar dia tidak pernah tinggal di asrama menyebabkan dia sanggup berulang alik setiap hari selepas ini.
“Justeru, saya memilih untuk melalui ICQS walaupun sedikit sukar dan jauh. Semoga ada kelonggaran untuk kami menggunakan ICQS.
“Bukan saya seorang, ramai kawan-kawan yang tolak untuk tinggal di asrama. Lagipun kami ada pas sempadan untuk lalu ICQS,” katanya.
Rakannya yang juga pelajar Tingkatan Tiga dikenali sebagai Haiza, 13, berkata, dia tidak sanggup untuk tinggal di asrama kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga.
“Memang susah memikirkan untuk menggunakan ICQS, namun terpaksalah memandangkan saya tidak mahu tinggal di asrama,” katanya.
Semalam media melaporkan, seramai 303 murid dan pelajar tinggal di Thailand yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang diberi empat pilihan sebelum pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata, empat pendekatan berkenaan adalah pelajar disarankan tinggal di asrama atau menumpang asramai berdekatan sekiranya sekolah berkenaan penuh atau tiada kemudahan itu.
Katanya, selain itu, pelajar juga disarankan menyewa rumah di sekitar sekolah dan pilihan terakhir mereka perlu menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.