Oleh: Izzatie Rizan
PETALING JAYA: Sebanyak 69 peratus bersetuju elaun pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau ‘internship’ ditawarkan pada kadar melebihi RM700 sebulan.
Dalam tinjauan pendapat yang dilakukan di laman Facebook Buletin TV3 mendapati seramai 21 peratus mengundi RM300 sehingga RM700 ringgit.
Manakala baki 10 peratus memilih kadar bayaran RM300 diberikan majikan.
Sebelum ini kerajaan memaklumkan akan meneliti isu elaun untuk mahasiswa yang menjalani latihan industri supaya mendapat pertimbangan sewajarnya.
Ia selepas isu berkenaan ditularkan seorang pelajar universiti awam baru-baru ini.
Menerusi tinjauan kami, rata-rata warganet berpendapat kadar bayaran yang dibayar perlulah mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan.
Menurut Aznur Amira Ariffin kadar itu juga berpatutan memandangkan kos sara hidup yang tinggi terutamanya di kawasan bandar.
“Intern bagilah elaun lebih sikit, nak pergi kerja, makan semua ingat free ke…dulu bolehlah RM300, sekarang ini RM300 celah gigi.”katanya.
Pendapat sama turut disuarakan, Lili Lili.
“Minyak motor, tambang bas, makan minum, sewa rumah, prepaid lagi…cukup ke RM300” katanya.
Bagaimanapun ada warganet berpendapat pembayaran itu perlulah setimpal dengan kerja dan juga jurusan kos yang diambil pelajar berkenaan.
Terdahulu seorang pelajar universiti awam tampil menyuarakan kebimbangannya untuk bertahan sepanjang menjalani latihan praktikal pada Oktober ini.
Pelajar wanita itu menyifatkan mereka bukan buruh percuma serta menyuarakan pandangannya selepas melihat permohonan latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil, malah ada yang tidak memberi elaun langsung.
Pelajar jurusan pengajian antarabangsa dan strategik itu juga dilaporkan menyuarakan bantahannya dengan membawa sepanduk tertera ‘intern bukan buruh percuma’ di sekitar kampusnya.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.